Sebidang tanah seluas 5 ekar untuk kegunaan pembinaan sebuah Masjid telah dijanjikan kepada penduduk Kota Kemuning didalam Plan Utama Pembangunan Kota Kemuning yang diluluskan oleh kerajaan tempatan hampir 15 tahun lalu.
Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya menyenaraikan cadangan pembinaan Masjid Kota Kemuning didalam Rancangan Malaysia Ke-9 pada tahun 2006. Walaubagaimanapun jangkamasa untuk penerimaan peruntukan dana dari pihak kerajaan tidak dapat dipastikan lagi dimasa itu.
Alhamdulillah kebenaran untuk mendirikan sebuah Masjid diatas tanah tersebut telah diterima dari pihak JAIS pada 31hb Januari 2011. Kebenaran ini adalah berdasarkan kos pembangunan Masjid yang perlu dibiayai sepenuhnya oleh ahli kariah sendiri memandangkan jangkamasa peruntukan dari pihak kerajaan masih belum dapat ditentukan.
Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Kemuning (JPMKK) telah diamanahkan untuk mengendali semua usaha-usaha yang perlu untuk menjadikan Masjid kami ini suatu kenyataan InshaAllah.
Mesyuarat Khas antara JPMKK dan Pejabat Agama Islam Daerah Klang (PAIDK) telah diadakan pada 30hb Mei 2011 dimana beberapa garis panduan dan cadangan aktiviti telah diterima. Antaranya adalah penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil (JKK) Dana, JKK Teknikal, JKK Penerangan dan JKK Dakwah dimana JPMKK berharap penduduk Kota Kemuning yang mempunyai kepakaran tertentu dialu-alukan menyumbang kepakaran masing-masing didalam mana-mana JKK tersebut.
Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga telah memberikan kebenaran kepada JPMKK pada 30hb Jun 2011 untuk memulakan kutipan khairat pembinaan Masjid Kota Kemuning. Berikutan ini pada 29 Julai 2011 PAIDK telah mengeluarkan surat kebenaran untuk meletak tabung kutipan khairat Masjid di semua Surau-Surau di Kota Kemuning.
Angaran awal kos pembangunan Masjid dijangka sejumlah RM15 Juta. Pembinaan peringkat pertama disasarkan bermula setelah dikumpul dana sebanyak RM5 Juta. Setakat akhir bulan Januari 2012 jumlah kutipan adalah RM80,000.
JPMKK juga akan melantik firma Arkitek bertauliah bagi menyiapkan rekabentuk Masjid Kota Kemuning dan sekaligus mendapatkan anggaran pembinaan yang lebih tepat serta kelulusan pembinaan secepat mungkin.
JKK PENERANGAN
No comments:
Post a Comment